Kiriman Abdullah Nasih ‘Ulwan

Setelah engkau maklumi — saudaraku pendakwah — bahawa keimanan, keikhlasan, keberanian, kesabaran dan bersikap optimis adalah merupakan perkara yang asasi dalam pembentukan psikologi pendakwah dan dalam persediaannya berdakwah. Begitu juga setelah engkau ketahui bahawa kesemua sifat ini tidak mungkin terkumpul melainkan di dalam jiwa mukmin yang merasai kemanisan iman dan menyerahkan dirinya untuk Islam.

Ia tetap dan terus bergerak ke arah matlamatnya sehingga Allah mengizinkan baginya kemenangan, atau ia kembali menemui Allah dan ia tetap berada di jalan perjuangan yang dipenuhi dengan rintangan, ujian,pertarungan dan penderitaan.

Setelah engkau maklumi bahawa sekiranya keseluruhan sifat-sifat ini sentiasa menyusuli dan mendampingi liku- liku perjalananmu, nescaya ianya akan memindahkan engkau ke suatu titik mula perjalanan yang mana apabila engkau melangkahi jalan tersebut, engkau akan merasai tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan, membekali engkau dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwamu dengan sinaran kerohanian dan jadilah engkau insan yang salih, mukmin yang bertakwa, muslim yang warak dan lelaki yang ikhlas.

Bahkan apabila engkau berjalan maka dalam perjalanan itu engkau akan mendapati kemudahan, apabila engkau bercakap, maka kata-katamu itu mempengaruhi, apabila engkau beramal maka amalan engkau menjadi contoh teladan (qudwah) apabila engkau muncul di khalayak ramai, maka di dalam pandangan air mukamu ada suatu tarikan dan apabila engkau memberikan pandangan maka di dalamnya terdapat suatu yang terang bersinar.

Sekiranya tahap yang disebutkan tadi ditentukan pengambilannya (bentuk), daripada tarbiyyah kepada mujahadah maka ianya akan menjadi sumber kekuatan yang utama untuk para dai’. Seterusnya ianya akan menjadi perangsang kepada ketinggian kerohanian serta sebagai pusat arah tujuan matlamat pentarbiyyahannya. Bahkan ia merupakan penggerak yang pertama bagi kesedarannya dalam memikul tanggungjawab. Ia juga merupakan matlamat yang paling utama dalam perjalanannya di jalan (istiqamah) dan juga pemberi ingatan yang paling besar kepada segala kesalahan dan penyimpangannya daripada kebenaran.


Lantaran itu apabila jiwa para pendakwah kekosongan daripada petunjuk-petunjuk kerohanian yang sempurna ini maka sesungguhnya kehidupan mereka adalah merupakan kehidupan yang kosong. Ia tidak menghasilkan sebarang keberkesanan dan sumbangan kepada dakwah.

Lantaran membawanya kepada kebinasaan dan kesesiaan di dalam kegelapan sifat-sifat ujub, munafik serta riak lalu tersungkur ia ke dalam kemelut yang dipenuhi lumpur-lumpur (perkara) yang melalaikan. Lantas terjerumus ke dalam sifat-sifat mementingkan diri sendiri (keakuan), keangkuhan serta ketakburan.

Ia hanya berusaha dengan segala kemampuannya untuk menarik manusia kepada peribadinya bukan kepada Allah s.w.t., membina seluruh kemuliaan hanya untuk dirinya bukan untuk Islam, dan hanya bekerja untuk (kepentingan) dunianya bukan untuk akhirat. Natijah dari semuanya ini berlakulah kegelinciran dan kejatuhan serta berlakulah kebinasaan. Apabila sejauh ini kepentingan kerohanian:

  • Apakah jalan ke arahnya?
  • Apakah sokongan yang mengukuhkannya?
  • Apakah kesannya dalam pembinaan, pengislahan (pemulihan) dan perubahan?

Setiap persoalan di atas akan engkau dapati — saudaraku pendakwah — penyelesaiannya. Bahkan engkau akan dapati InsyaAllah suatu yang akan menyinari dan menyuluhi jalan yang akan menyampaikan engkau kepada- Nya. Allah jualah menerangkan jalan (yang lurus) dan kepada-Nya pergantungan pertolongan.

Teruskan Bacaan